Sunday, May 19, 2013

0

Kisah seorang IBU bersama seorang baby Terperangkap Di Vietnam

  • Sunday, May 19, 2013
  • Rahman Hatim
  • Share

  • Kira-kira jam 8.45 malam tadi, mengikut waktu tempatan di Vietnam, saya terlihat penumpang pesawat AK 1455, warga Malaysia dihampiri oleh kakitangan lelaki Air Asia. Penerbangan pulang ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada jam 9 malam ( 10 malam waktu Malaysia ).

    Setelah beberapa minit berlalu, perlahan saya kemudian mendekati kumpulan penumpang itu dan mengajukan soalan.
    "Ada masalah apa puan?"

    "Kakitangan Air Asia ini berkata, anak saya dilarang menaiki pesawat kerana dia demam campak. Kami sekeluarga, dua belas orang, datang ke Ho Chi Minh pada hari Rabu lalu. Kami memang ada membawa bekalan ubat demam, jadi bagi kepada dia kalau dia demam. Dia sudah tidak demam lagi," ujar ibu bayi, Izan Suhaila Mohd Ali, 36 tahun.

    "The mother and the baby had to stay here for five days. They cannot board the aircraft," arah kakitangan Vietnam Air Asia berdiri di sebelah saya.

    Mereka bimbang sekiranya deman terbabit menjangkiti penumpang lain.
    Menurut ahli keluarga Izan, semua beg pakaian mereka telah dimasukkan ke dalam pesawat. Setelah bercuti selama empat hari, kandungan beg bercampur aduk dan barangan keperluan asas Izan dan anaknya, Maryam sukar dipisahkan.
    Bayi, Maryam Sofea Mohd Reza, berusia 14 bulan.
    Lalu saya terangkan keadaan sebenar kepada kakitangan syarikat penerbangan tambang murah itu.

    "So, all twelve had to stay then ," balasnya.

    "I understand the situation, law is a law but don't forget, these are human beings not dogs or cats. If she were going to stay here for another five days, she and the baby need cloth to wear. Please refer this matter to your superior again before making further decision," balas saya.

    Tidak lama kemudian, muncul seorang penumpang MELAYU memperkenalkan dirinya sebagai pegawai perubatan ( medical doctor ) datang menghampiri dan menyentuh tubuh Maryam.

    "Dia kena chicken pox tetapi sudah tidak demam lagi. Hanya tinggal kesan tompokan hitam sahaja di tubuh," ujar doktor terbabit.

    Namun kenyataan beliau tidak dihiraukan oleh petugas di situ.
    Beberapa minit kemudian tampil pula jururawat wanita tempatan dan pantas menyelitkan jangka suhu di bawah ketiak bayi itu sebanyak dua kali.

    "Apabila kita bertanya, berapakah suhu badan Maryam, dia membisu," ujar kakak Izan, Norhamiza.

    Saya perhatikan, airmata jernih mula bergenang di bawah dua kelopak mata Izan sambil dia terus mendakap erat anaknya mengalami sindrom down.

    Barangkali dia bak tidak mampu mempercayai cabaran didepaninya tatkala itu amat getir. Tambahan pula suami tersayang tidak bersamanya untuk mengharung detik hitam tidak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayatnya itu.
    Keputusan muktamat telah dibuat oleh kakitangan Air Asia berpenampilan bongkak biarpun tidak dipersetujui ramai penumpang lain.

    "The captain doesn't allow this baby on board," ujar pegawai sama kepada kami.

    Warga Malaysia berkunjung ke bandaraya Ho Chi Minh untuk membeli-belah. Lazimnya, ramai tidak membawa baki wang tunai tatkala pulang ke Malaysia.
    Di saat perpisahan hampir menjenguk, Izan dipeluk erat oleh ahli keluarganya. Mereka juga tidak berupaya menahan deraian airmata tumpah di pipi.


    "Ibu ini diarahkan untuk tinggal bersama anaknya selama lima hari lagi di sini. Barangkali dia tidak mempunyaii wang tunai mencukupi. Kalau hati terbuka untuk menghulurkan bantuan, dipersilakan," kata saya spontan kepada semua penumpang sedang beratur untuk menaiki pesawat.

    Tidak semena-mena, warga Malaysia pelbagai bangsa, Melayu, Cina dan India, tergesa-gesa, tanpa berfikir panang, mengeluarkan matawang pelbagai jenis dari poket serta beg duit mereka dan pantas menghulurkan kepada Izan.

    Hebat sungguh warga Malaysia. Memori sebegitu bakal terus terpahat di minda saya, selagi hayat dikandung badan.
    Saya berasa amat kagum.
    Biarpun mereka tidak mengenali Izan dan keluarga, fakta itu diketepikan. Saya melihat lelaki Cina bertubuh tinggi menyeluk saku lalu menghulurkan sejumlah wang kepada Izan, berdiri di elevator.

    Kakitangan Air Asia bertugas bak tidak sabar untuk membawa Izan, Maryam dan dua anak buahnya keluar daripada kawasan itu.

    Sebelum beredar, Izan sempat dipeluk oleh beberapa wanita Melayu tidak pernah dikenalinya. Sebilangan wanita lain, berlari mendapatkan ibu bertugas sebagai kakitangan Hong Leong Bank itu dan mendermakan wang tunai.

    Saya berasa amat terharu menyaksikan detik memilukan itu tetapi gagal untuk tidak mengizinkan kejadian itu berlaku.
    Untuk rekod, beberapa petugas, lelaki dan perempuan kelihatan berdiri di kaunter Air Asia. Gambar mereka saya rakamkan. Siapapun sekali mereka, kumpulan itu dilihat mewakili syarikat penerbangan terbabit.

    Andai kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes tiba-tiba berkebetulan muncul di lokasi itu, pasti saya tidak segan untuk merayu ...

    "Tan Sri, tolong hulurkanlah sedikit bantuan. Mungkin kakitangan Air Asia boleh mencarikan hotel untuk mereka menginap kerana Vietnam, negara asing bagi mereka. Lagipun kini hampir jam 10 malam. Pengguna perkhidmatan syarikat Tan Sri itu juga BUKAN orang kaya dan ternama seperti Tan Sri. Apapun, hakikatnya, Izan dan anaknya adalah pelanggan Air Asia dan mereka telah membayar tambang untuk pulang. Jika penumpang tidak mengenali mereka, sudi membantu, inikan pula Tan Sri, individu tersohor di mata rakyat Malaysia"

    Malangnya saya tidak berpeluang bersemuka dan meluahkan rayuan itu kepada Tony tatkala beliau diperlukan.
    Saya bukan Richard Branson and I don't wear skirt.

    Lupakan Tony tetapi saya berharap selepas membaca entri ini, beliau dan kakitangan Air Asia akan mengambil tindakan segera menangani kesengaraaan bakal ditempuh penumpang malang pesawat Air Asia terbabit.
    Tony, just like what I have told your staff in Vietnam, Izan and Maryam are humans.

    Sekitar jam 9.30 malam, kami semua hanya mampu menjadi penonton ketika ibu dan anak itu diarahkan keluar dari pintu 18, lapangan terbang.
    Pesawat AK 1455 terbang pada kira-kira jam 10 malam waktu Vietnam, terlewat kira-kira sejam berbanding masa sebenar. Lebih MENAKJUBKAN, tiada sebarang permohonan maaf diumumkan kepada penumpang berikutan kelewatan berlaku.

    Sebaik menaiki pesawat, saya menceritakan butiran kejadian kepada ketua pramugari, Kasturi, sedang berdiri berhampiran pintu utama pesawat. Melihat reaksi wajahnya gadis berpakaian serba merah itu, saya dapat menjangkakan kes itu terlalu asing bagi dirinya.

    "Tolong maklumkan kepada kapten dan ground staff Air Asia di LCCT supaya Izan dapat dibantu," pinta saya.

    Setelah menjamah nasi lemak tidak berapa enak dipesan, saya sekali lagi kembali menghampiri Kasturi.

    "Saya dimaklumkan, ibu dan anak itu telah dibawa ke hospital oleh ground staff kita," kata gadis tinggi lampai itu.

    "Adakah kapten mengetahui kejadian itu? Kerana ground staff tadi memaklumkan saya dan keluarga Izan, kapten tidak membenarkan Mariam menaiki pesawat," soal saya.

    "Kapten hanya tahu sebentar tadi setelah saya maklumkan," akui Kasturi.
    Kapten bertugas, Ariffin Bakar.

    Sebenarnya, tiada individu bijak gemar bertindak melanggar undang-undang. Jika kehadiran Maryam di dalam pesawat ternyata membahayakan nyawa semua penumpang, molek jika bayi itu dirawat dengan kadar segera di hospital di Ho Chi Minh terlebih dahulu.
    Sewaktu tiba di LCCT, saya mendapatkan berita terkini melalui Norhamiza dan ahli keluarga lain termasuk ibunya, Zaiton Baharom, 71 tahun.
    "Memang kami terekjut," komen Zaiton terkilan.

    "Tadi sewaktu saya hubungi melalui telefon, Izan berkata, kakitangan Air Asia itu menghantar mereka sampai ke stesyen teksi dan berkata, I am sorry. Izan kemudian terpaksa pergi membelikan baju Mariam dan dua pasang baju dia sendiri kemudian pergi balik ke May Flower Hotel, tempat kami menginap sebelum ini. Bayarannya, USD60 semalam. Hujung minggu, banyak hotel penuh dan terpaksa tinggal di situ. Ini trip pertama Izan ke Vietnam," tambah Norhamiza.

    "Jadi tidak benarlah kenyataan mereka kononnya Maryam telah dihantar ke hospital oleh kakitangan Air Asia bertugas di lapangan terbang?," tanya saya kepada ahli perniagaan itu.

    "Tidak," balasnya ringkas.
    "Apakah pesanan puan kepada Air Asia?," soal saya.

    "Periksa secara teliti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan. Jika Maryam membawa penyakit, sudah pasti kami antara individu paling awal dijangkiti kerana kami bercampur-gaul dengan dia. Saya sendiri tidur sebilik dengan Maryam," luah Norhamiza, kecewa.

    Apakah bakal berlaku kepada Izan dan Maryam? Adakah mereka mempunyai wang mencukupi untuk Maryam melakukan pemeriksaan darah di hospital di Vietnam? Wajarkah Air Asia lepas tangan dalam kes ini?


    Do you like this story?

        
        

    Post a Comment

    Free Auto Malaysia Backlinks My Ping in TotalPing.com