Surat Imam Al Ghazali Kepada Salah Seorang Muridnya


Surat Imam Al Ghazali Kepada Salah Seorang Muridnya



Wahai anak!

Memberi nasihat itu senang, manakala menerimanya adalah sulit. Kerana, pahit bagi hawa nafsu yang memang menyukai perkara perkara terlarang. Terutama dikalangan para penuntut ilmu, kerana terlalu sibuk mencari kebesaran diri dan kemegahan duniawi. Ia menyangka dalam ilmu itu terkandung keselamatan dan kebahagian dan ia juga menyangka ia tidak perlu beramal. Inilah kepercayaan yang salah!

Ia tidak sedar bahawa, ia akan dipertanggungjawabkan dengan ilmu yang ia miliki. Seperti sabda Nabi SAW 

"orang yang berat menanggung seksa di hari Akhirat kelak adalah orang yang berilmu namun tidak mendapat menfaat dari ilmunya"


Wahai anak!

Janganlah hidup dalam kemiskinan amal dan kehilangan keinginan untuk bekerja. Yakinlah, ilmu tanpa amal semata mata tidak akan mampu menyelamatkan manusia. Jika di suatu medan, seorang perajurit lengkap bersenjata berhadapan dengan seekor singa yang kuat, mampukah senjata menyelamatkan diri sang perajurit tersebut? 

Senjata sahaja tidak mampu membantu kecuali senjata tersebut diangkat dan digunakan. Begitulah perumpamaan seorang manusia, jika membaca dan menelaah beribu bahan bacaan, jika tiada amal, maka ilmu tersebut tidak mendatangkan faedah.

Wahai anak!

Berapa malam yang engkau berjaga untuk mengulang ngulang ilmu, membaca buku dan engkau haramkan tidur keatas dirimu. Aku tidak tahu apakah yang mendorongmu. Jika yang menjadi pendorong adalah kesenangan dunia dan kemewahan harta, malanglah dirimu. 

Namun jika pendorongmu adalah keinginan untuk menghidupkan syari'at Rasulullah SAW dan menyucikan budi pekertimu serta menundukkan hawa nafsumu yang tidak pernah lelah mengajak kepada kejahatan, maka beruntunglah engkau. Benar kata penyair, "biarlah mengantuk menyiksa mata, akan sia-sia jika tidak kerana Allah semata".

Wahai anak!

Hiduplah seperti mana yang engkau mahu. Ingatlah, bahawasanya engkau akan mati. Dan cintailah siapa yang engkau sukai, namun ingat engkau akan berpisah dengannya. Dan berbuatlah apa sahaja yang engkau inginkan, namun ingatlah, engkau akan dipertanggungjawabkan keatas semuanya.


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama