MAHAR CINTA ISTERI PEJUANG

Gamba Hiasan


Suatu hari, akhirnya air mata ini tumpah. Lama sebenarnya dipendam. Cuba untuk menggagahkan diri, mencekalkan hati. "Kakak mari sini ummi nak peluk kakak," tubuh kecil anak solehah itu dirangkul. "Berjuang ni memang berat ye kakak." Anak itu seolah mengerti hanya diam merelakan dirinya dipeluk erat. Setelah itu, ketenangan dicari dan hati dipujuk dengan menghadap Yang Maha Esa. Usai "beruzlah" seketika, diri yang tadinya layu bangkit dengan semangat baru!

Direnung kembali...

Semakin berat amanah perjuangan. Jujurnya jadual suami yang terlalu padat semakin terasa. Baru pulang dari Acheh setelah 3 hari, ada pula program di Indonesia, kemudian ke Sabah, pulang dan seterusnya ke Terengganu, Kuala Lumpur.......

Dirinya pula ada amanah lain di hospital terutama bila perlu oncall, memberi khidmat berterusan lebih 30 jam untuk masyarakat. Anak-anak pula perlu diuruskan sebaiknya. Dirinya amat berpegang, seorang ibu adalah madrasah buat anak-anak. Alhamdulillah Allah Maha Penyayang mengurniakan ahli keluarga yang sangat memahami dan banyak membantu.

Sedang melayan perasaan, suami yang tadinya dah keluar bergegas ke kuliah di masjid, masuk seketika sambil menghulur sebuah diari. "Ambillah, hadiah untuk sayang." Seolah ada aura untuk memahami.

Dibuka diari itu sambil mengelap air mata yang masih tersisa. Dalamnya ada dua muka surat yang menyenaraikan organisasi beserta gambar pimpinan muslimat gerakan dakwah. Allah... Tiba-tiba seperti ada tamparan kuat, malu sendiri. Mereka juga muslimat, seorang isteri, seorang ibu, malah beberapa orang juga ada yang bergelar doktor perubatan. Namun mereka tetap teguh membawa amanah dan risalah perjuangan untuk ummah. Kekuatan itu memberi aspirasi.

Sungguh, jika dulu diri ini sendiri yang berdoa dan memohon pada Allah, agar dikurniakan jodoh yang dapat membawa kepada redhaNya, yang dapat membawa kepada istiqamah di jalan dakwahNya... Maka kenapa hari ini pula perlu mengeluh? Sewajibnya perlu menerima dan menghadapi dengan penuh rasa syukur.

Mahar cinta isteri pejuang itu adalah syurga. Namun ianya mahar yang tertangguh yang awalnya menuntut sepenuh kefahaman, ikhlas, pengorbanan dan kekuatan.

Tangguhkan merasai kemewahan di dunia untuk mahligai di akhirat,

Tangguhkan menikmati keseronokan melancong dan beristirehat di dunia untuk nikmat di akhirat,

Biarlah terhadnya masa bersama di dunia kerana dakwah asal dapat bahagia bersama di akhirat,

Biar kesusahan dunia menjadi saksi untuk bekalan di akhirat nanti...

Diselak kembali helaian kisah para isteri pejuang atas nama dakwah, kerdil sungguh rasanya diri ini.

Manifestasi cinta agung Saidatina Khadijah di jalan dakwah sehingga sanggup berkorban jiwa, pangkat dan harta. Malah akhir hayatnya sanggup menuturkan, "Andai tulang belulangku boleh digunakan untuk perjuangan Islam maka gunakanlah."

Kefahaman jitu isteri as-Syahid Abdullah Azzam meninggalkan kesenangan hidup di tempat tinggalnya untuk bersama suaminya berhijrah untuk perjuangan Islam.

Tingginya pengorbanan isteri as-Syahid Imam Hassan al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin, yang mengambil alih peranan mendidik anak-anak tatkala suaminya kerap keluar atas tuntutan dakwah.

Teringat juga kisah bidadari timur, Datin Sabariah, isteri murabbi agung almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, yang sangat merendah diri dengan rumah yang sederhana walaupun bergelar Menteri Besar berpuluh tahun. Malah ada diceritakan bila mana beliau memakai gelang emas pernah ditegur TGNA kerana takut-takut ada rakyatnya wanita di luar sana yang kepingin dan meminta suami mereka untuk belikan gelang emas sedangkan suaminya tidak berkemampuan.

Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah. Teruslah bergerak dilapangan ummah, meredhai dan menjadi tulang belakang langkah suamimu di jalan dakwah. Infiru!

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama