“SIAPA yang tidak mahu memiliki wanita secantik Rozita Che Wan. Sekalipun orang itu gila, mereka mesti jatuh hati padanya. Saya sendiri tidak menolak Rozita punyai ciri wanita yang lengkap. Cantik, sopan santun, pandai memasak dan pandai menjahit,” Luah Zain Saidin, 27, artis lelaki yang dikatakan kemaruk cinta wanita jelita yang menjadi siulan jejaka Malaya.
Bertemu Zain di satu majlis meraikan anak yatim di Subang Jaya, baru-baru ini Zain tidak langsung menyangkal dia suka melihat kecantikan dan sikap Rozita yang mudah mesra serta tidak sombong namun menafikan sedang hangat bercinta dengan ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu. “Saya akui dia cantik dan berbakat. Perkenalan kami bermula ketika saya membintangi drama Kiah Pekasam Musim Pertama. Sebelum ini saya langsung tidak mengenali dirinya dan sehinggalah mula berlakon dalam drama itu. “Saya juga diberitahu rakan seperti Azza Elite bahawa Rozita wanita jelita dan satu nama besar dalam dunia lakonan. Bohonglah jika saya kata dia tidak cantik dan dia memang ada ciri-ciri yang lelaki mahukan,” katanya.
Tutur kata anak muda ini dalam memperkatakan mengenai Rozita memang dirasakan jujur. Dia tidak berlapik atau berkias untuk membuat pengakuan bahawa dirinya juga memang terpikat dengan apa yang dimiliki oleh pelakon kelahiran Kedah itu.
Zain berkata, hubungan antara dia dan Rozita adalah hubungan sahabat yang akrab kerana dia begitu selesa dengan sikap yang ada pada pelakon berstatus ibu tunggal yang mempunyai dua anak itu.
“Saya tidak menganggap dia sebagai kakak dan menganggapnya seperti rakan artis lain juga. Apabila saya menganggapnya kakak, hubungan itu nampak kekok dan saya amat menghormati dirinya.
“Bagi saya, Rozita adalah wanita yang punyai ciri wanita moden tetapi masih menyelitkan ciri wanita desa,” kata adik kepada Shasha Saidin.
Dia juga juga memberitahu, Rozita disifatkan sebagai wanita yang suka mencabar diri dan bersemangat tinggi dalam melalui kehidupan sebagai pelakon.
“Dia mempunyai sikap suka mencabar diri dan melakukan perkara yang mencabar. Dia sanggup berlakon menjadi wanita berpenyakit dan sanggup berada dalam keadaan tidak cantik semata-mata mahu menjayakan watak yang diberikan,” katanya yang tidak menolak jika dijodohkan bersama wanita pujaan ramai itu.
“Jika ada jodoh saya dengan dirinya, saya tidak menolaknya dan menerima. Soal penerimaan ibu dan ayah saya, semua itu boleh dibincangkan bersama.
“Saya juga kenal anak-anak Rozita kerana kadang kala dia ada membawa mereka bersama ketika menjalani penggambaran. Namun saya hanya keluar dengan Rozita ketika ada waktu rehat di set penggambaran. Itupun untuk minum-minum bersama dan kami tidak pernah keluar berdua di luar set,” katanya yang mengakui ada berkawan rapat dengan wanita lain tetapi masih mengenali hati budi masing-masing.
Beri tempoh tiga tahun
Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan kononnya dia mahu berhijrah ke Indonesia kerana kecewa disebabkan pelakon berdarah campuran sepertinya kurang diberi perhatian, Zain menjelaskan, dia bukan merajuk tetapi sekadar ingin mencuba peluang baru.
“Saya memberi tempoh pada diri sendiri untuk berjaya dalam bidang seni dalam masa tiga tahun. Kini saya sudah dua tahun membabitikan diri sebagai pelakon.
"Jadi bila masuk tahun ke tiga nanti tetapi saya masih di takuk ini, saya ingin mencuba nasib dan berhijrah ke Indonesia pula bagi mencari peluang di sana sekiranya industri seni di negara ini tidak menerima saya kerana watak yang ada untuk wajah seperti saya agak terhad,” jelasnya yang turut mahu menjejaki langkah rakan seperjuangannya, Asharf Sinclair.
Jejaka ini tidak menafikan walaupun wajahnya dilihat lebih layak menghiasi bidang peragawan, masih ada produser dan pengarah yang mahu memilihnya sebagai watak utama dalam drama mereka.
“Saya masih ditawarkan berlakon dan ada yang menawarkan watak utama. Saya tahu kebanyakan produser memilih jalan selamat dan tidak mahu mengambil risiko menawarkan watak utama kepada saya disebabkan wajah saya yang bukan kemelayuan.
“Tetapi saya mempunyai komunikasi yang baik dalam Bahasa Melayu kerana dibesarkan dan bersekolah dalam suasana Melayu,” katanya yang mahu peminat dan sesiapa sahaja menegurnya supaya berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia kerana dia lebih mencintai bahasa itu daripada berbahasa Inggeris.
Kata jejaka kacak ini, walaupun dia berdarah campur iaitu Melayu dan Inggeris tetapi dia bersekolah dan dibesarkan dalam kehidupan yang dikelilingi orang Melayu.
Zain yang pada mulanya langsung tidak meminati bidang lakonan berkata, bagi mempersiapkan diri menjadi artis yang serba boleh, dia berhasrat menghasilkan album mini tidak lama lagi yang menampilkan enam lagu ciptaannya sendiri.