Maafkan Mama Sayang, Ungkapan Terakhir Dari Seorang Ibu

Maafkan Mama Sayang, Ungkapan Terakhir Dari Seorang Ibu

Maafkan Mama Sayang, Ungkapan Terakhir Dari Seorang Ibu | “Kakak!!!!!!!”. Saya menjerit kuat.

Sudah terlambat. Saya hanya mampu memandang, cermin mata saya yang bingkainya sudah patah. Segera suami mengambilnya dari tangan Aqila.

Saya menahan marah, membisikkan pada diri supaya sabar. Saya cuba mengawal minda agar menekan butang ‘pause’ dari melakukan sebarang tindakan tidak wajar pada anak kecil itu.

Si kecil yang masih belum faham bahawa ibunya sedang marah, meluru pada saya. Senyum dan memeluk erat kaki si ibu ini.

Di saat kondisi kewangan yang agak menghimpit ini, untuk membuat cermin mata baru, ia satu masalah besar bagi saya. Silau mata yang agak tinggi tidak memungkinkan saya untuk memandu dalam keadaan tidak bercermin mata.

Saya diam. Suami juga diam.

Kami membiarkan sahaja keheningan insiden itu berlalu.

Keesokkan harinya, saya terkejut. Saya dapati satu beg kertas ada di atas meja. Apabila dibuka, sebingkai cermin mata baru menjadi penghuninya.

Dalam diam, suami saya telah pergi ke bandar dan membuatkan cermin mata yang baru untuk saya. Ditanya berapakah harganya, dia hanya tersenyum dan menggelengkan kepala. Perasaan saya bercampur baur. Terharu dengan tindakannya, dan serba-salah juga ada. Memikirkan duit yang dikeluarkan untuk cermin mata saya, di saat-saat terhimpit sebegini..

Marah pada si kakak berjaya dikawal. Tidak seperti di awal-awal kelahiran si adik dulu. Si kakak kerap menjadi ‘mangsa’ saya melampias marah.

Marah kerana dia mencubit adik dan adik menangis.

Marah kerana dia ulang alik ke dapur, membuka peti sejuk, mengambil telur mentah lantas pecah terhempas ke lantai.

Marah kerana dia sepahkan mainannya.

Marah kerana dia meragam tak tentu pasal.

Marah kerana dia menangis di tengah-tengah malam. Saat saya sedang menyusukan adiknya.

Marah dilampiaskan dalam bentuk pukulan dan tengkingan. Dan acapkali dia menangis di saat menerima ‘habuan’ itu.

Entah bagaimana kacau bilaunya perasaan si anak yang menjadi kakak di usia setahun setengah itu. Masih kecil, masih belum mengerti apa-apa.

Entah betapa kecewanya dia, mungkin merasakan ibu sudah tidak sayangkannya lagi sejak si adik menjengah dunia.

Entah betapa sedihnya dia menghadapi situasi yang berlarutan beberapa minggu ketika saya menjalani tempoh berpantang.

Mengenangkan jahilnya saya ketika itu, betapa saya ini tidak pandai mengurus emosi. Si anak menjadi mangsa.

Kerana itulah, airmata si ibu ini mengalir laju saat Ustaz Rujhan berkongsi kisah ini ketika ceramah beliau di kolej 2 minggu yang lalu. Kisah yang diceritakan oleh seorang ibu, perihal anaknya yang terlalu nakal.

Rumah yang sudah cantik dikemas oleh si ibu disepahkannya. Berulang kali, meskipun sudah dimarahi.

Si ibu ini sudah hilang sabar. Suatu hari, ditariknya telinga si anak bila dia menyepahkan rumah. Diajarnya pada si anak, agar setiap kali ibu menarik telinganya kerana kenakalannya, si anak perlu berkata: “Ibu, maafkan abang”.

Suatu hari, saat ibu sibuk memasak di dapur, si anak seperti biasa membuat sepah di ruang tamu yang telah dihias rapi oleh ibunya.

Ibu meradang. Si anak ketakutan dan lari ke luar rumah.

“Dummmm!!!”. Kedengaran bunyi sesuatu di luar rumah.

Namun, sudah terlambat. Saat si ibu meluru keluar, anaknya sudah terbaring di atas jalanraya. Darah merah memenuhi jalan.

Si ibu memangku si anak yang sudah nazak.

Dengan bibir terketar-ketar.. Si anak menuturkan kata-kata yang cukup mengusik hati si ibu:

” Ibu…maafkan abang...”. Si anak meminta maaf kepada ibunya kerana telah menyepahkan rumah tadi. Dan itulah ungkapan terakhir anak buat si ibu…


Saya mengesat airmata yang berlinangan. Mengenang saat saya memarahi anak.

Menyalahkan diri sendiri. Sukarkah memberi maaf kepada anak? Kita juga pernah kecil seperti mereka. Bersabarlah wahai ibu! Maafkan mereka..

Hargailah saat ketikamana mereka berada di depan mata. Kerana kita tidak tahu, sampai bila ianya akan begitu. Saat ia hilang, ia tentu satu perasaan yang sangat sukar untuk ditafsirkan.

Nakal anak tanganilah dengan hikmah.

Marah hanya membuatkan mereka keras hati. Berdoalah untuk mereka, kerana doa seorang ibu, sangat mustajab buat anaknya.

Anak-anak itu adalah rezeki. Mereka hadir bersama ujian, cabaran buat mematangkan ibu bapa. Sabar itu harus dipupuk sentiasa. Gerun saya memikirkan, anak-anak andai sentiasa dimaki, diherdik, ditengking ibu bapa sendiri yang tidak pandai mengurus emosi. Tuntas, bagaimanakah emosi si anak di saat dia membesar nanti.. Akan jadi pendendamkah ia ??


Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama