Siti Khadijah Binti Khuwailid Usahawan Terhebat

SITI KHADIJAH BINTI KHUWAILID USAHAWAN TERHEBAT

    Merintis Sejarah


    Siti Khadijah Binti Khuwailid sememangnya terkenal dengan sifat peribadinya yang dermawan. Ketokohan beliau dalam bidang perniagaan begitu dikagumi oleh masyarakat Arab Quraisy pada waktu itu. Siti Khadijah juga terkenal dalam kalangan para sahabat sebagai pejuang dan srikandi yang sanggup berkorban harta dan jiwa raganya demi menegakkan syiar Islam. Beliau adalah cinta hati Rasulullah S.A.W yang mana melalui Siti Khadijah, Rasulullah S.A.W mendapat zuriat. Kecintaannya kepada Siti Khadijah terbukti apabila sepanjang baginda bersama Siti Khadijah, Rasulullah  S.A.W tidak berkahwin dengan mana-mana wanita lain.

    Kehebatan wanita yang bernama Siti Khadijah ini adalah terletak pada keperibadiannya yang tulus dan suci.Walaupun dikurniakan harta kekayaan yang melimpah-ruah tetapi beliau menjalani kehidupan secara bersederhana serta begitu prihati terhadap golongan yang daif. Kaya tidak menjadikan Siti Khadijah seorang yang bongkak, namun dengan kekayaan yang ada menjadikan beliau seorang yang sentiasa bersyukur.

    Begitu juga halnya dalam kehidupan berumah tangga. Kekayaan tidak menjadikan beliau menjadi besar kepala kepada suaminya walaupun dirinya memiliki kelebihan daripada segi pangkat dan darjat. Nabi Muhammad S.A.W yang tidak mampu memberikan kekayaan kepadanya tetap dilayan dengan selayak-layaknya sebagai seorang suami. Tumpahnya kasih dan sayang Khadijah kepada Nabi Muhammad S.A.W bukan kerana harta kekayaan tetapi kerana budi pekerti yang dimiliki oleh Baginda yang berjaya memikat jiwa wanita bernama Khadijah.

    Siti Khadijah adalah simbol isteri setia yang tidak pernah mengenal erti penat dan jemu mendampingi suaminya iaitu Nabi Muhammad S.A.W dalam menegakkan panji-panji kebenaran Islam. Beliau sanggup berkorban jiwa dan harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan kepada Rasulullah S.A.W.

    Isteri Pengasih Penyayang


    Beliau adalah isteri Nabi Muhammad S.A.W yang pertama. Sebelum berkahwin dengan Baginda, Siti Khadijah pernah menjadi isteri kepada Atiq bin Abid dan Abu Halah bin Malik. Hasil perkahwinan terdahulu beliau dikurniakan dengan empat orang anak. Dua daripadanya iaitu Abdullah dan Jariyah adalah hasil perkongsian hidupnya bersama suaminya yang bernama Atiq. Manakala dua orang lagi iaitu Hindun dan Zainab adalah hasil perkongsian hidup bersama suaminya yang bernama Abu Halah. Ketika Nabi Muhammad S.A.W berkahwin dengan Siti Khadijah, Siti Khadijah berusia 40 tahun manakala Nabi Muhammad S.A.W berusia 25 tahun. Mas kahwin yang diberikan kepada Siti Khadijah adalah sebanyak 20 barkah dan upacara perkahwinan mereka diadakan sendiri oleh ayahanda Siti Khadijah iaitu Khuwailid.

    Perkahwinan Nabi Muhammad S.A.W bersama Siti Khadijah sebagai pasangan suami isteri berkekalan selama hampir 25 tahun iaitu 15 tahun sebelum Nabi Muhammad S.A.W dilantik menjadi rasul dan 10 tahun selepasnya iaitu sehingga kembalinya Siti Khadijah ke rahmatullah iaitu kira-kira tiga tahun sebelum Hijrah. Beliau adalah isteri Nabi Muhammad S.A.W yang tidak pernah dimadukan kerana semua isteri Baginda yang dimadukan berlaku selepas pemergian Siti Khadijah.

    Hartawan Yang Dermawan


    Keadaan rumah tangga Nabi Muhammad S.A.W dan Siti Khadijah begitu bahagia. Kebahagian rumah tangga mereka terpancar menerusi pergaulan sesama mereka yang sentiasa diterapkan dengan nilai kasih sayang dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Keadaan ini sama sekali berlawan dengan cara hidup bangsa Arab Jahiliyyah pada ketika itu yang sentiasa merendah-rendahkan martabat dan kedudukan kaum wanita. Manakala dari segi pengurusan perniagaan pula, beliau banyak dibantu  oleh Nabi Muhammad S.A.W sendiri.

    Biarpun bergelar wanita hartawan ternama, namun cara hidup Siti Khadijah sederhana sahaja, baik daripada segi makan, minum, pakaian, mahupun gaya hidup. Beliau begitu prihatin kepada golongan yang tidak berkemampuan seperti fakir miskin, ibu tunggal, dan anak-anak yatim yang kelaparan. Golongan-golongan seperti inilah yang sering kali mendapat perhatian dan diberikan bantuan. Hasil kekayaan yang diperoleh daripada keuntungan perniagaan dimanfaatkan untuk kebaikan orang-orang yang susah. Sifat Siti Khadijah yang dermawan ini begitu disenangi oleh masyarakat Arab Makkah.

    Putera Puteri Penyeri Rumah Tangga


    Perkahwinan bahagia antara Rasulullah S.A.W dan Siti Khadijah diserikan lagi dengan kehadiran putera-puteri yang menjadi penyambung dan pengasih kasih sayang mereka. Kurniaan enam orang cahaya mata kepada Rasullah S.A.W dan Siti Khadijah adalah harta yang paling bernilai. Anak sulung Baginda diberi nama Al-Qasim, sehinggakan gelaran yang diberi mengikut adat kebiasaan orang Arab kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah Abul Qasim. Walau bagaimanapun, Al-Qasim lebih disayangi Allah S.W.T, beliau meninggal dunia ketika berusia dua tahun. Kemudian, kehidupan mereka diserikan lagi dengan kehadiran puteri yang dinamakan Zainab.

    Zainab berkahwin dengan Abul Ash bin Ar-Rabi. Beliau sama-sama berhijrah ke Makkah seterusnya mengikut  ayahandanya ke Madinah dan meninggal dunia pada tahun 8 Hijrah. Putera yang diberi nama Abdullah adalah anak ketiga Siti Khadijah bersama Rasulullah S.A.W, namun umurnya juga tidak panjang. Abdullah meninggal dunia ketika masih kecil. Selepas Abdullah, lahir pula puteri yang kedua iaitu Ruqayyah. Ruqayyah apabila dewasa menjadi isteri kepada Uthman bin Affan iaitu sahabat Rasullah S.A.W sendiri. Puteri ketiga pula adalah Ummu Kalthum. Yang menariknya adalah selepas pemergian Ruqayyah, beliau disunting oleh Uthman bin Affan menjadi isteri. Ummu Khaltum meninggal dunia di Madinah pada tahun 9 Hijrah.

    Anak bongsu daripada pasangan bahagia ini adalah Siti Fatimah Az-Zahra. Beliau adalah puteri kesayangan Rasulullah S.A.W yang berkahwin dengan sepupu Baginda iaitu Ali Bin Abi Talib. Oleh sebab kedua-kedua putera Baginda meninggal dunia ketika masih kecil, Rasulullah S.A.W mengambil anak angkat yang bernama Zaid bin Harith. Zaid adalah hamba yang dibeli oleh Siti Khadijah lalu dimerdakan dan diambil menjadi anak angkat. Zaid diasuh dan dipelihara dengan penuh kasih sayang seperti anak sendiri.

    Tokoh Usahawan Unggul


    Perkembangan  Islam sejak awal perjuangan Rasulullah S.A.W sudah menunjukkan kepada kita begitu pentingnya soal kemantapan ekonomi bagi menjana, menjamin, dan meneruskan kelangsungan perjuangan. Baginda banyak dibantu oleh kemantapan, dan keutuhan ekonomi yang dimiliki oleh isterinya yang tercinta iaitu Siti Khadijah binti Khuwailid. Siti Khadijah adalah Ummul Mukminin pertama dalam sejarah Islam yang bergelar wanita  bangsawan dan hartawan yang gigih dalam perniagaan. Beliau sentiasa memberikan dorongan besar dan tidak berbelah bahagi kepada perjuangan Rasulullah S.A.W disamping memainkan peranan sebagai pembantu, pembela, dan juga pelindung Rasulullah S.A.W daripada ancaman orang-orang musyrikin Quraisy.

    Isteri Tunggak Perjuangan Suami


    Pada usia Nabi Muhammad S.A.W 40 tahun, Baginda mendapat wahyu ketika sedang menyendiri di Gua Hira. Dalam keadaan gementar kerana takut dengan suara Jibril, Rasulullah S.A.W ditenteramkan oleh Siti Khadijah dengan meyakinkan Rasulullah S.A.W bahawa Baginda adalah pesuruh Allah S.W.T. Apabila Rasulullah S.A.W menerima wahyu supaya menyebarkan Islam, Siti Khadijah adalah wanita pertama yang menyambut kebenaran itu. Beliau tanpa berasa ragu meyakini akan keesaan Allah S.W.T dengan cara mentauhidkan-Nya. Siti Khadijah mengakui kebenaran yang dibawa oleh suaminya walaupun pada masa itu Rasulullah S.A.W seringkali mendapat tentangan dan menerima tomahan serta cacian daripada kaum musyrikin Makkah.

    Demi menegakkan syiar Islam, Siti Khadijah sanggup berjuang dan berkorban apa sahaja terutama daripada segi harta benda yang dimilikinya. Semua ini dilakukan demi membela dan memperjuangkan agama Allah S.W.T walaupun dirinya terpaksa bergolok-bergadai. Pengorbanan besar yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah ini sentiasa dikenang oleh Rasulullah S.A.W walaupun beliau sudah lama kembali ke rahmatullah. Saidatina Aisyah pernah berkata, “Aku tidak pernah berasa cemburu kepada isteri-isteri Rasulullah S.A.W seperti aku cemburu kepada Khadijah padahal aku tidak pernah berjumpa dengannya.” Hal ini kerana Rasulullah S.A.W sering sahaja  menyebut-nyebut namanya. Baginda pernah menyebut, “Dia beriman kepada aku pada saat orang lain kafir dan dia membenarkan aku pada saat orang lain mendustakan aku. Dia menolong aku dengan hartanya pada saat orang lain tidak memberikannya kepada aku dan Allah S.W.T menganugerahkan anak kepada aku hasil daripadanya bukan daripada isteri-isteri lain.” Begitulah pengorbanan seorang isteri yang terlalu besar jasanya kepada suami dan perjuangan Islam. Beliau adalah sumber inspirasi dalam perjuangan Rasulullah S.A.W.


    Kehilangan Yang Dirasai



    Siti Khadijah wafat ketika Baginda berusia 50 tahun. Kehilangan Siti Khadijah begitu dirasai oleh Rasulullah S.A.W kerana beliau adalah orang yang sentiasa berada di sisi Rasulullah S.A.W dan memberikan kekuatan kepada Baginda ketika penduduk musyrikin Makkah memboikot orang-orang Islam. Ketika berusia 65 tahun, Rasulullah  S.A.W berasa begitu sedih sekali sejak pemergian Siti Khadijah sehinggakan tahun itu dicatatkan dan dinamakan dalam sejarah Islam sebagai ‘Aamul Huzn’ iaitu  tahun kesedihan atau tahun dukacita.

    Bagi Rasulullah S.A.W, Baginda bukan hanya  kehilangan isteri yang setia bahkan Baginda kehilangan segala-galanya. Baginda kehilangan seorang pembantu dan pembela yang setia bersama-sama dengannya dalam melaksanakan dan menggalas tugas suci yang diamanahkan kepada Baginda iaitu menyeru manusia kepada mentauhidkan Allah S.W.T. Pada tahun ini juga Rasulullah S.A.W kehilangan bapa saudaranya iaitu Abi Talib bin Abdul Mutalib yang banyak memberikan sokongan dan sanggup bersusah payah melindungi Baginda daripada kezaliman kafir Quraisy. Apa yang pasti, kehilangan kedua-dua insan yang disayangi oleh Baginda ini begitu dirasai sehingga menerbitkan kesedihan yang begitu mendalam kepada diri Rasulullah S.A.W.

    Bingkisan Terindah Buat Wanita (Perniagaan Adalah Sunnah)



    Rezeki wajib dicari dan diusahakan. Sekiranya dilihat daripada sudut pekerjaan yang dilakukan, salah satunya adalah bidang perniagaan. Tidak kira jenis perniagaan yang diceburi, sama ada besar ataupun kecil, ia adalah salah satu sumber pendapatan. Tidak dinafikan melalui perniagaan seseorang mampu mengubah nasib dan kehidupannya. Jatuh bangun dalam perniagaan sudah dianggap sebagai lumrah kehidupan. Bagitu juga dalam Islam, sememangnya umat Islam digalakkan mencari rezeki melalui cara berniaga. Malahan, sudah dinyatakan dalam hadith, 9 daripada 10 sumber rezeki adalah melalui perniagaan.

    Allah S.W.T menyatakan dalam surah Al-Jumu’ah ayat 10, “Kemudian, selepas selesai sembahyang, bertebaranlah kamu di muka bumi (bagi menguruskan hal masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah serta ingatlah Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat).”

    Ayat ini menjelaskan, Allah S.W.T tidak menghalang sesiapa pun yang mahu mencari sebanyak mungkin harta kekayaan di muka bumi ini. Namun begitu, ia perlu dilakukan dengan syarat sentiasa patuh dengan segala perintah-Nya. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini sudah pun ditentukan rezeki masing-masing. Oleh hal yang demikian, melalui rezeki itulah kita sebagai manusia perlulah sentiasa berusaha bagi  mendapatkannya. Seperti yang sudah diterangkan dalam hadith, terdapat 10 sumber rezeki yang Allah S.W.T turunkan dan 9 daripadanya adalah daripada berniaga. Manakala satu bahagian yang selebihnya itu adalah daripada sumber yang lain pula iaitu makan gaji. Oleh sebab itulah kita digalakkan berniaga kerana perniagaan berdasarkan kaedah Islam begitu menitik beratkan persoalan halal dan haram bagi menjamin nilai keberkatannya.

    Dalam Islam, perniagaan dihalalkan manakala amalan riba diharamkan pelaksanaannya. Walau bagaimanapun segala bentuk perniagaan adalah sama sahaja tidak kiralah yang bercirikan Islam ataupun tidak. Apa yang berbeza hanyalah daripada segi etika yang diamalkan dalam perniagaan itu. Kita sebagai umat Islam perlu memikirkan cara bagi mencari keberkatan dalam kehidupan. Setiap orang diberikan rezeki, bukannya diberi harta. Oleh itu, sekiranya harta bertimbun tetapi tidak mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T sememangnya semua yang kita miliki adalah sia-sia sahaja.

    9 Daripada 10 Punca Rezeki Daripada Perniagaan


    Berniaga adalah pekerjaan yang digalakkan dalam Islam dan melaluinya terbuka seluas-luasnya pintu keberkatan sekiranya dijalankan mengikut kehendak Islam itu sendiri. Ia juga menjanjikan pintu rezeki yang begitu luas sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah S.W.T iaitu 9 daripada 10 punca rezeki adalah daripada perniagaan. Bahkan kita juga sudah maklum bahawa perniagaan itu sendiri adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah S.A.W apabila Rasulullah S.A.W sendiri berniaga dan berjaya dalam perniagaan.

    Ringkasnya, kita sememangnya digalakkan berniaga kerana perniagaan dapat memberikan keuntungan yang lebih besar sekiranya kena pada strategi dan gayannya. Namun begitu, persoalannya di sini kebanyakan orang takut kepada risiko. Biar apa pun risiko yang mendatang, kita perlu berani mencuba dengan meletakkan dan menyandarkan rezeki semuanya daripada Allah S.W.T. Hakikat rezeki daripada perniagaan ini mendapat keuntungan yang lumayan kerana usaha daripada perniagaan ini adalah berbentuk kerja sendiri.

    Setiap orang yang berniaga perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kepada apa sahaja keputusan yang dibuat. Risiko dalam perniagaan perlu ditangani dengan cekap bagi mengelakkan kegagalan. Di sebalik keuntungan perniagaan yang berlipat ganda hasil daripada perniagaan kerana ia sembilan pintu rezeki, kita juga perlu ingat bahawa terdapat juga sembilan pintu cabaran. Oleh itu, kita perlu meletakkan usaha, komitmen  dan kesabaran yang tinggi apabila kita ingin terlibat dalam perniagaan.

    Sekiranya kita umpama ‘hangat-hangat tahi ayam’, sudah pasti kejayaan dalam perniagaan tidak dapat kita capai. Hal ini kerana ada ramai yang mahu menjadi cepat kaya tanpa berusaha dengan gigih.

    Cabaran Menjadi Ahli Perniagaan


    Setiap orang yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan pastinya mengimpikan kejayaan dan keuntungan yang berlipat kali ganda. Sekarang ini kita dapat saksikan begitu ramai wanita muncul menjadi hebat dan terbilang dalam bidang perniagaan. Ramai wanita lahir sebagai ahli korporat yang berjaya. Sudah pasti setiap kejayaan yang mereka kecapi tidak semudah yang kita sangka.

    Setiap kejayaan yang diburu pasti  tidak terpisah daripada cabaran. Kita perlu fahami, cabaran ini sekiranya dilihat daripada sudut yang positif memberikan nilai tambah yang besar kepada diri setiap individu bagi menjadikannya usahawan yang berjaya. Apabila memperkatakan perihal cabaran, biasanya cabaran berniaga terdiri daripada modal, bentuk perniagaan yang mahu diusahakan dan juga risiko.

    Bagi wanita yang bergelar usahawan, semua cabaran ini mampu dipikul sekiranya kita ada kesanggupan memikul dan menghadapinya. Di sinilah letaknya nilai sifat-sifat mahmudah yang diajar oleh Islam supaya kita sentiasa bersabar dan berlapang dada dengan rezeki Allah S.W.T.

    Selain itu, kita juga perlu meletakkan perniagaan sebagai jalan mencari keredhaan Allah S.W.T. Cabaran itu sentiasa datang kepada diri kita dan kita perlu menjadi insan yang berlapang dada dengan dugaan dan cabaran yang diberi oleh-Nya. Kita perhatikan bagaimana Siti Khadijah boleh menjadi usahawan yang hebat dalam perniagaan. Beliau perlu berhadapan dengan pelbagai  cabaran yang berada dalam kalangan bangsawan Arab  yang gagah dan kaya-raya tetapi ternyata  sifat ikhlas dan pemurahnya menjadi pemangkin kepada kejayaannya dalam menempuh cabaran.

    Disiplin Dan Etika Dalam Perniagaan


    Apa sahaja yang kita lakukan perlu mengikut etika yang betul bagi mencapai kejayaan. Begitu juga halnya dalam bidang perniagaan. Antara perkara penting yang perlu dititikberatkan adalah situasi menang-menang ataupun perhubugan yang terjalin yang berteraskan keuntungan untuk kedua-dua belah pihak iaitu antara pembeli dan penjual. Peniaga dilarang sama sekali memeras ugut pelanggan serta memaksa mereka membeli barangan yang kita jual. Selain itu, barangan yang dijual perlulah barangan yang dapat memberi manfaat di samping tiada unsur-unsur penipuan.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, tujuan kita berniaga adalah bagi mencari keredhaan-Nya. Oleh itu, keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan perlu dikongsi bersama dalam bentuk zakat dan sedekah. Jangan kita memiliki perasaan mahu cepat kaya sehinggakan kita sanggup menggunakan jalan pintas dengan menipu, memutar  belit, mengeksploitasi dan sebagainya. Sememangnya kita akui ada yang cepat menjadi kaya melalui perniagaan. Namun, ada juga yang cepat menjadi kaya dan cepat pula tersungkur. Keadaan ini sungguh bahaya. Seseorang yang sentiasa menjaga etika serta ikhlas dalam perniagaannya pasti dipelihara oleh Allah S.W.T.

    Sekiranya kita mahu berjaya dan pada masa yang sama kejayaan itu sentiasa dipelihara oleh Allah S.W.T, kita perlu sentiasa mengingati Allah S.W.T tidak kira ketika senang mahupun susah. Peluang bagi kita memanfaatkan keuntungan yang diberikan oleh Allah S.W.T daripada hasil perniagaan itu boleh dikongsi melalui zakat, sedekah, amal jariah, dan pelbagai bentuk saluran lain untuk kebaikan masyarakat Islam umumnya. Semoga dengan melakukan perkara kebaikan demi umat, Allah S.W.T menggandakan lagi hasil perniagaan kita kelak.

    Matlamat Tidak Menghalalkan Cara


    Matlamat berniaga kerana mengikut sunnah Rasulullah S.A.W adalah mulia. Namun begitu, perlu dipastikan niat yang baik tetap tidak menghalalkan cara. Ini bermaksud cara berniaga seperti mengeksploitasi dan monopoli adalah ditegah sama sekali. Ada juga niat berniaga kerana mahu menjadi kaya-raya tetapi cara niaga yang dipilih adalah dengan cara yang salah seperti mengedar dadah ataupun berniaga sesuatu yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

    Sekiranya kita mengeluarkan zakat melalui sumber yang haram, sudah pasti ia menjadi haram. Ada yang sanggup menjual tubuh badan dan pada masa  yang sama memberi alasan duit  ringgit yang diperoleh mahu digunakan bagi membantu keluarga serta ibu bapa. Ada juga yang niatnya adalah bagi menyara keluarga tetapi menjalankan perniagaan dengan cara menipu dan sebagainya.

    Wanita sering dieksploitasi kerana kurangnya kesedaran kepada nilai maruah diri. Sebagai contoh, adakala barangan yang dijual itu halal dan bermanfaat tetapi kesilapannya adalah apabila memperagakan diri dengan tidak menutup aurat serta menonjolkan bentuk badan yang mengiurkan demi mempengaruhi pelanggan. Bahkan ada juga segelintir peniaga yang sengaja mempamerkan rupa paras yang cantik demi menarik minat kepada barangan yang dijual. Oleh itu, kita perlu ketahui bahawa kita sudah pun melanggar syariat Islam kerana tidak mematuhi batasan aurat yang ditetapkan. Bagi mendapatkan rezeki yang berkat, kita perlu pastikan segala bentuk usaha yang kita lakukan tidak menimbulkan syubhah.



    Rujukan


    • Sakinah Salleh
    • 10 Tokoh Idola Muslimah
    • Ladyjuz

    Catat Ulasan

    Terbaru Lebih lama