Diharuskan Menangis Kepada Orang Yang Meninggal Dunia




Diharuskan Menangis Kepada Orang Yang Meninggal Dunia
Riwayat: Bukhari dan Muslim

Hadith:
Daripada ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas'ud RA, kemudian Rasulullah SAW. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama baginda turut menangis. Seterusnya baginda bersabda, Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu baginda mengisyaratkan kepada lidahnya.

Bersedih dan menangis kerana kematian seseorang yang dikasihi diharuskan oleh syarak dengan syarat ia tidak melampaui batas seperti meratapi serta meraung-raung dan sebagainya.

Penyeksaan atau rahmat terhadap orang mati bergantung kepada amalan lidah orang yang masih hidup di mana apabila lidah tersebut digunakan untuk memperkatakan kebaikan si mati ia akan mendatangkan kebaikan kepada si mati.

Sebaliknya jika lidah digunakan untuk memperkatakan kejahatan si mati atau memperkatakan kebaikan tetapi dengan cara yang tidak beradab ia akan mendatangkan keburukkan kepada si mati.



Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama