Saturday, August 18, 2012

Pin It

0

Amalan Sunat Di Malam Raya

  • Saturday, August 18, 2012
  • Rahman Hatim
  • Share

  • Masing-masing sudah berkira-kira dan merancang membuat persiapan menyambut hari raya.

    Sememangnya agama Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya kerana hari raya adalah hari kemenangan umat Islam dalam melaksanakan rukun Islam ketiga dan berjaya menumpaskan hawa nafsu dan godaan syaitan.

    Namun, dalam kerancakan menyambut lebaran, kita hendaklah sentiasa ingat supaya tidak dilalaikan dalam membuat persiapan hari raya kerana pada saat dan ketika itulah kita sewajarnya merebut peluang untuk mempertingkatkan amal ibadat kita untuk memperoleh ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan Allah.

    Walaupun Ramadan berlalu pergi, tidak bermakna ia bukan waktu terbaik bagi kita melaksanakan ibadat serta menambah amalan.

    Jangan kita abaikan nilai dan roh Ramadan yang dilaksana seolah-olah ibadat puasa yang kita kerjakan tidak memberi kesan baik pada diri kita.

    Begitu juga berpuasa dapat mengembalikan kesihatan tubuh badan yang mungkin sebelum ini kita tidak berkesempatan mengamalkan pemakanan seimbang.

    Dalam menyambut kedatangan Syawal, kita hendaklah meraikannya mengikut panduan digariskan agama Islam iaitu sunat melaungkan takbir sebaik tibanya Syawal serta menghidupkan malam raya dengan berzikir, bertahmid, bertasbih, beristighfar, berdoa dan mengerjakan sembahyang sunat.

    Selain disunatkan mandi dengan niat kedatangan Aidilfitri, memakai bau-bauan harum, memotong kuku, memakai pakaian elok, kita disunatkan mengerjakan solat sunat hari raya sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud:
    “Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah dengan solat.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)
    Begitulah indahnya dan telitinya agama Islam sehingga menyambut hari raya ada adab serta garis panduan yang memimpin umatnya supaya tidak terpesong daripada tujuan sebenar sambutan diadakan iaitu sebagai menzahirkan rasa syukur terhadap Allah SWT.

    Namun, di samping bersyukur dan bergembira meraikan hari raya, kita disunatkan melakukan puasa sunat enam hari pada Syawal, bermula pada dua Syawal.

    Puasa enam pada Syawal lebih afdal dilaksanakan secara berturut-turut tetapi tidak menjadi kesalahan jika puasa enam itu dilakukan secara berselang hari atau dibuat pada bila-bila masa asalkan pada Syawal.

    Ganjaran bagi orang yang mengerjakan puasa sunat enam hari pada Syawal selepas berpuasa sebulan Ramadan, seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.

    Ini sebagaimana hadis Rasulullah SAW bermaksud:
    “Barang siapa berpuasa pada Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)
    Ini bukti Allah SWT sentiasa memberi peluang dan ruang kepada hamba-Nya untuk melaksanakan ibadat tambahan bagi memperoleh pahala disediakan-Nya.

    Berpuasa enam hari adalah sebagai petanda betapa seseorang itu meningkat iman dan takwanya kepada Allah hingga sanggup menahan lapar dan dahaga, sedangkan pada waktu itu mereka dibolehkan menikmati aneka makanan dan juadah.

    Ia juga sebagai bukti serta pengukur bahawa ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan memberi kesan kepada diri dengan perasaan penuh kesyukuran, sedangkan ada antara kita meraikannya dengan menikmati juadah yang ada.

    Kredit : ikhwanmencarinurillahi.blogspot.com




        
        

    Post a Comment

    Free Auto Malaysia Backlinks ping fast  my blog, website, or RSS feed for Free My Ping in TotalPing.com