Kiub Ais Merupakan Punca Keracunan Makanan


Laporan awal mendapati kiub ais merupakan punca keracunan makanan yang menyebabkan seorang pelajar berusia 11 tahun meninggal dunia selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di Klang awal bulan ini. 

Ujian ke atas sampel sisa muntah dan najis untuk mengenal pasti punca keracunan makanan yang menyebabkan pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai, Klang meninggal dunia dan lapan ahli keluarganya yang lain mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah. 

“Berdasarkan laporan awal, kiub ais merupakan punca keracunan makanan,” kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai dipetik Bernama Online. 

“Kita masih menjalani siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca dan sumber sebenar yang menyebabkan mangsa dan ahli keluarga lain mengalami keracunan makanan,” katanya kepada pemberita di Hospital Putrajaya di sini. 

Pada 9 Ogos, Nurdini Mohamad Ali, 11, meninggal dunia setelah muntah dan cirit-birit selepas menikmati juadah berbuka puasa manakala ahli keluarganya dimasukkan ke hospital selepas mengalami simptom yang sama. 

Semua mereka didapati makan juadah otak-otak dan air batu campur dibeli daripada bazar Ramadan sama. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama